OGOS 2025

ACWA Power Dijangka Melabur Bagi Penjanaan Tenaga Elektrik Sarawak


JULAU, 9 OGOS 2025 - ACWA Power, sebuah syarikat pemaju, pelabur dan pengendali penjanaan kuasa berpangkalan di Arab Saudi dijangka melabur bagi penjanaan tenaga elektrik berkapasiti 2,000 megawatt di Murum dan juga sebahagian Batang Ai. 

Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, beliau menerima kunjungan hormat delegasi tersebut daripada Arab Saudi di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat. 

"Semalam (Jumaat) saya bersama dengan delegasi dari Arab Saudi. Arab Saudi buat bandar baharu bernama Neom, harganya USD8.4 bilion.

"Anda tahu Arab Saudi susah bekalan air, cuacanya tidak dapat, tapi di bandar baharu ini, syarikat tersebut dapat kawal cuaca. 

"Nama syarikat ini ACWA, pengerusinya sendiri (Mohammad Abunayyan) datang semalam jumpa saya, dia tahu kita (Sarawak) ada kekuatan dalam tenaga. 

"InsyaAllah mereka akan melabur di Murum dan juga sebahagian Batang Ai, bagi menjana tenaga elektrik berkapasiti 2,000 megawatt," katanya berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Nanga Lasi, Julau pada Sabtu. 

Premier Sarawak memberitahu lebihan tenaga elektrik yang dijana di Sarawak boleh dijual keluar seperti Singapura, Semenanjung Malaysia termasuklah Indonesia. 

"Ini bermakna kalau kita jual elektrik kita ke luar negara, maka pendapatan kita pun akan bertambah. Sebab itu saya katakan tadi, ilmu mesti dipertingkatkan dan ia akan membawa hasil kepada kita," ujar beliau. 

Bercakap mengenai ilmu, Premier Sarawak turut mendedahkan bahawa Sarawak kini masih kekurangan modal insan yang memiliki sesuatu kepakaran dalam bidang tumpuan Sarawak. 

"Modal alam semula jadi kita ada, tapi modal insan kita kurang. Saya ingin berkongsi mengenai syarikat yang melabur di Bintulu antara syarikat Korea dan Jepun iaitu Tokuyama dan OCI, mereka buat bahan untuk telefon pintar, tablet termasuklah solar, dan mereka memerlukan 200 jurutera. 

"Sebab itulah saya minta kita ada program dengan Kolej Universiti i-CATS, untuk mengeluarkan anak-anak kita yang ada ijazah dalam program semikonduktor. 

"Dan ini membolehkan kita dapat menghasilkan cip sendiri, hari ini pun kita dah buat cip oleh anak Sarawak kita sendiri, InsyaAllah hujung tahun ini sekiranya mendapat IP (Harta Intelek) antarabangsa, ia akan memberikan lagi pendapatan kepada Sarawak," ujar beliau.